Sunday 19 February 2017

PENGENALAN


SEJARAH PERKEMBANGAN PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI PERLIS

Hasrat untuk menubuhkan sebuah “Khutub Khanah atau perpustakaan” telah bermula sejak tahun 1966. Sebuah Jawatankuasa Khutub Khanah telah ditubuhkan untuk memulakan langkah tersebut. Mesyuarat pertama telah diadakan pada 28 September 1968 dan bersetuju menggunakan Bilik Pertahanan Awam di Bangunan Mahkamah Lama yang terletak di Jalan Kelab Indera Kayangan, Kangar sebagai tapak permulaan bagi memulakan sebuah Khutub Khanah di negeri Perlis. Segala kelengkapan seperti buku diperolehi melalui sumbangan derma daripada pihak swasta, ahli-ahli perniagaan dan orang perseorangan. Perubahan tempat ini sesuai berbanding dengan usaha awal tahun 1966 di mana ia hanya menumpang di bangunan Kelab Indera Kayangan, Kangar.
 



 


Khutub Khanah Negeri Perlis 1969-1987

PEMBUKAAN RASMI

Khutub Khanah itu menggunakan Bilik Pertahanan Awam pada 15 Februari 1969 setelah pihak JKR menjalankan kerja-kerja ubah suai bangunan tersebut di bawah pengawasan juruteranya iaitu Encik Lim Teik Mei. Pada peringkat permulaan, Khutub Khanah hanya dibuka sebagai bilik bacaan sahaja kerana koleksi buku-buku yang ada belum mencukupi untuk dipinjam sehinggalah pertengahan Julai 1970, perkhidmatan pinjaman dibenarkan setelah jumlah koleksi buku meningkat kepada 5,000 naskah. Bangunan Khutub Khanah yang mempunyai keluasan lantai 3,600 kaki persegi telah dibuka dengan rasminya oleh DYMM Tuanku Raja Perlis pada 20 April 1969. Ia merupakan satu detik bersejarah bagi negeri Perlis kerana ia merupakan salah sebuah negeri yang mula-mula sekali dapat mengadakan sebuah Khutub Khanah di Semenanjung Malaysia.


PERKEMBANGAN KHUTUB KHANAH

Khutub Khanah telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat di negeri Perlis khususnya pelajar sekolah dan siswazah yang balik bercuti untuk digunakan sebagai tempat rujukan. Keadaan ruang sedia ada semakin sempit apabila pengguna semakin ramai serta koleksi buku bertambah setiap tahun. Akhirnya, Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berada sebumbung dengan Bilik Pertahanan Awam telah menyerahkan ruangnya untuk digunakan oleh Khutub Khanah.

KELENGKAPAN DAN KOLEKSI

Pada ketika itu, kelengkapan yang disediakan hanya dua buah rak buku, dua buah meja dan enam belas kerusi pembaca, dan sebuah almari yang dihadiahkan oleh Persatuan Teksi dan sebuah kabinet katalog sumbangan YB Dato’ Azizul Rahman.

Koleksi buku telah meningkat kepada 7198 naskhah pada tahun 1972, yang kebanyakannya diperolehi melalui sumbangan daripada pihak USIS, DBP, British Council dan Kedutaan-kedutaan di Kuala Lumpur.
 





Ruang bacaan di bangunan lama

ENAKMEN PERPUSTAKAAN

Perkembangan Khutub Khanah Negeri telah mendapat perhatian daripada Perpustakaan Negara. Pengarah Perpustakaan Negara, Encik Saad Marzuki serta Encik Wijasuriya selaku Timbalan Pengarah telah mengadakan lawatan ke negeri Perlis untuk berbincang dengan Jawatankuasa berkenaan mengenai masalah dan kesulitan yang dihadapi dalam menguruskan perjalanan Khutub Khanah ini. Mereka juga sempat bertemu dengan YAB Menteri Besar, Datuk Jaafar Hassan dan mengesyorkan Kerajaan Negeri mewujudkan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri sebagai Badan Berkanun. Langkah ini bertujuan membolehkan kakitangan ikhtisas yang mempunyai kelulusan dalam bidang Sains Perpustakaan, dilantik bagi mentadbirkan perpustakaan yang sedia ada dengan lebih teratur dan sistematik lagi. Satu enakmen yang dinamakan “Enakmen Perbadanan Perpustakaan Umum Negeri Perlis” telah dapat digubal dengan bantuan daripada Perpustakaan Negara dan diwartakan secara rasmi pada 20 Nov 1973. Dengan termeterainya enakmen tersebut, Perbadanan itu dengan rasminya mengambil alih perjalanan Khutub Khanah Negeri.

PERKEMBANGAN SELEPAS MENJADI PERBADANAN

Pada tahun 1976, seorang Penolong Pustakawan telah dilantik bagi mengetuai pentadbiran perpustakaan ini dengan dibantu oleh seorang Pembantu Perpustakaan, Pelayan Perpustakaan serta seorang Penyemak Perpustakaan Sambilan. Pada tahun 1977, Lembaga Pengarah Perbadanan bersetuju menukarkan nama Perpustakaan Umum kepada Awam bagi menyeragamkannya dengan Perbadanan-perbadanan Perpustakaan Negeri lain.

PROJEK BANGUNAN BAHARU

Bangunan PPANPs sekarang

Bangunan baru PPANPs tahun 1988
 
Peruntukan sebanyak RM1 juta telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga untuk projek bangunan baharu perpustakaan dengan keluasan lantai 25,000 kaki persegi. Di atas masalah kemelesetan ekonomi dan perubahan tapak maka pelaksanaan projek ditangguhkan sehinggalah ke Rancangan Malaysia Kelima. Bangunan baharu Perpustakaan Negeri siap pembinaannya pada Disember 1987. Pembukaan rasminya disempurnakan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis pada 20 September 1988.


PERISTIWA PENTING

Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoU) pengambilalihan khidmat Pengurusan Sumber Manusia Perpustakaan Awam Negeri Perlis di bawah Perpustakaan Negara Malaysia telah diadakan pada 16 Mei 2010 .  Perjanjian ini telah ditandatangani oleh YBhg. Datuk Wira Kamaruddin Siaraf, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan YB Dato’ Mohd Zabidi Zainal, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis di Auditorium Perpustakaan Awam Negeri Perlis. Dengan termetrainya perjanjian ini, maka pengurusan sumber manusia Perpustakaan Awam Negeri Perlis dengan rasminya kini berada di bawah Perpustakaan Negara Malaysia.  Walau bagaimanapun Enakmen PPANPerlis Bil 1 tahun 1984 masih terpakai dan Ahli Lembaga Pengarah yang dilantik juga dikekalkan. Majlis penyerahan rasmi perjanjian ini telah disempurnakan pada 17 Jun 2011 oleh YAB Menteri Besar Perlis kepada Ketua Pengarah PNM di Perpustakaan Negara Malaysia.





PENGUBAHSUAIAN PERPUSTAKAAN KANAK-KANAK

Perpustakaan Kanak-Kanak Kangar Perlis mula diubahsuai pada 2017 untuk menaiktaraf perkhidmatan kepada masyarakat negeri Perlis.

Sebelum Pengubahsuaian




Selepas pengubahsuaian










0 comments:

Post a Comment