Saturday 8 April 2017

Jom Masuk Kampung : Booth perpustakaan diserbu!


Program : Jom Masuk Kampung Parlimen Kangar
Tarikh : 8 April 2017 (Sabtu)
Masa : 8.00 pagi
Tempat : Tapak Pasar Malam, Kuala Perlis


Jutaan penghargaan kepada PerlisFM kerana sudi menjemput Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis untuk mengadakan pameran dan promosi galakan membaca sempena Program Jom Masuk Kampung Parlimen Kangar pada 8 April 2017 (Sabtu), 8.00 pagi bertempat di Tapak Pasar Malam Kuala Perlis.

Sambutan masyarakat negeri Perlis amatlah menggalakkan terutamanya masyarakat sekitar Kuala Perlis dan dianggarkan seramai 3000 orang memeriahkan program ini. Pelbagai aktiviti disediakan seperti kenduri kampung, sukaneka rakyat, aspek wanita, pertandingan mewarna kanak-kanak, senamrobik dan taichi, pertandingan nyanyian, persembahan artis jemputan (Bagio), Farum Perdana Ehwal Islam, pameran agensi dan sebagainya.

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis tidak terkecuali terlibat dalam program ini dengan mengadakan pameran dan promosi galakan membaca di booth yang disediakan. Sambutan masyarakat terhadap perpustakaan diluar jangkaan! 

Peranan perpustakaan dalam menyebarkan ilmu tidak perlu disangkal lagi dan masyarakat negeri Perlis amat sukakan ilmu.  Ini dapat dilihat melalui sambutan masyarakat terhadap perpustakaan kerana rata-rata antara mereka membanjiri booth perpustakaan dengan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan seperti membaca buku, membuat aktiviti cut & paste (I-Play Toy library), belajar sambal bermain dan menjadi ahli perpustakaan.  Terima kasih rakyat negeri Perlis atas sambutan anda terhadap perpustakaan!

Pihak perpustakaan mengalu-alukan pelbagai agensi  samada kerajaan, swasta mahupun NGO bersama-sama bekerjasama membudayakan masyarakat dengan amalan membaca ilmu. Perpustakaan mengalu-alukan jemputan dari pihak luar untuk adakan pameran dan aktiviti, mengadakan pinjaman buku berkelompok (percuma), lawatan sambal belajar, ceramah dan sebagainya. Pinjaman buku adalah percuma sahaja. Rebutlah peluang yang disediakan di perpustakaan!




















Maklumat lanjut hubungi:


Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis
Jalan Penjara, 01000 Kangar, Perlis
No. tel : 049764436
Faks : 049760906
H/p : 0174696110 (Zairina)


AMALAN MEMBACA & PUPUK AMALAN MEMBACA DI KALANGAN MASYARAKAT


Membaca merupakan amalan mulia yang perlu ada di kalangan masyarakat. Dengan membaca kita dapat menambah ilmu pengetahuan.

Budaya membaca perlu bermula dari rumah dan asuhan ibu bapa.kerana ibu bapa merupakan pihak pertama yang berupaya membentuk budaya membaca seseorang individu. Suasana keluarga juga amat mempengaruhi anak-anak terutama daripada segi amalan membaca. Oleh itu, ibu bapa wajar membelikan buku untuk bacaan anak-anak sejak mereka kecil lagi. Selain itu, buku-buku dapat dipinjam di perpustakaan secara percuma.  Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis menawarkan pinjaman buku sebanyak 6 buah buku selama 3 minggu. lbu bapa boleh membaca bersama anak-anak kerana aktiviti sebegini menyeronokkan anak-anak dan ia dapat menggalakkan anak-anak membaca.

Selain keluarga, masyarakat juga berperanan mempengaruhi generasi muda agar gemar membaca. Masyarakat mesti menjadikan aktiviti membaca sebagai budaya hidup seharian. Aktiviti membaca semasa menunggu bas dan ketika dalam kenderaan seperti yang dilakukan oleh rakyat Jepun patut diamalkan oleh masyarakat di negara kita kerana aktiviti ini banyak kebaikannya. Dengan melakukan aktiviti pembacaan pada setiap masa, maka akan terbentuklah masyarakat yang berilmu.

Selain itu, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran bolehlah bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis. Pihak Kementerian pelajaran terutamanya Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perlis dan sekolah-sekolah bolehlah menjemput Perbadanan Perpustakaan Awam negeri Perlis untuk mengadakan aktiviti program galakan membaca kepada pelajar-pelajar seperti adakan aktiviti pameran, daftar ahli perpustakaan, ceramah galakan membaca, bengkel IT, bengkel perpustakaan, pinjaman buku berkelompok dan sebagainya.

Selain itu, pihak agensi dan jabatan-jabatan yang lain boleh turut menanamkan sifat membaca di kalangan masyarakat dengan menjemput perpustakaan untuk adakan program promosi galakan membaca dan pinjaman buku secara berkelompok. Bayangkan sekiranya setiap bank, pejabat pos, klinik dan lain-lain jabatan menyediakan sudut bacaan untuk pengunjung membaca buku sambil mereka menunggu masa untuk sesuatu urusan. Bahan bacaan bolehlah didapati di perpustakaan secara pinjaman berkelompok.

Sesungguhnya, sesebuah negara akan maju jika masyarakatnya berpengetahuan dan mengamalkan amalan membaca sepanjang masa.








0 comments:

Post a Comment